Monday, November 23, 2015

Sikap hari ini menentukan siapa kita pada masa hadapan

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam A'laika Ya Habiballah.

Salam sayang untuk semua pembaca yang sudi singgah ke blog kami ini.

Sedar tak kita, sikap yang pernah kita pamerkan 10 atau 15 tahun dahulu sebenarnya adalah apa yang kita ada pada hari ini. Jika 10-15 tahun dahulu, kita seorang pelajar yang gigih belajar demi mengejar segulung ijazah kelas pertama, hari ini kita  mungkin sedang duduk di atas sofa pejabat yang empuk, dibayar dengan gaji yang lumayan oleh majikan yang bukan calang-calang tarafnya.

Jika 10-15 tahun dahulu, kita amat rajin membantu ibu-bapa berniaga di kedai-kedai kecil, mungkin hari ini kita merupakan seorang taukeh besar yang sudah mengambil alih tugas ibu bapa kita yang sudah tua.

Tetapi jika pada waktu yang telah jauh meninggalkan kita itu kita hanya duduk menongkat dagu, ibarat hidup segan mati tak mahu, anda boleh bayangkan di mana tahap kehidupan kita pada ketika ini.

Jika anda seorang pekerja yang makan gaji pada hari ini, tetapi punya cita-cita untuk mempunyai perniagaan sendiri suatu hari nanti, pertama sekali nilai kembali sejauh mana anda telah memberi yang terbaik kepada kerjaya anda sekarang. Pernah bekerja tanpa meminta dibayar "overtime?" Pernahkah bekerja tanpa minta sebarang pengiktirafan dari ketua atau rakan? Pernahkah anda memberi 200% komitmen pada pekerjaan yang hanya memerlukan 50% kepakaran anda?

Saya memang sangat terpana ketika mentor saya membangkitkan isu ini sewaktu menghadiri seminar beliau tempoh hari. Kesimpulannya sangat mudah, jika kita sudah terbiasa membuat apa jua perkara sekali pun dengan usaha yang terbaik, kita pasti akan terbawa-bawa sikap itu di dalam perniagaan kita juga. Hasilnya, sudah tentulah produk yang terbaik untuk dipersembahkan kepada pelanggan tercinta. Produk yang digarap dengan sentuhan mata hati, sudah pasti akan memberi keistimewaan dan penyelesaian kepada setiap masalah yang dialami oleh pelanggan.

"Love what you do first before you do what you love", begitulah kata-kata Doktor Hj. Azizan Osman yang masih saya ingat sehingga ke hari ini. Persiapkan diri kita untuk menempuhi dugaan-dugaan yang lebih besar. Malah mungkin lebih dahsyat dari apa yang kita pernah alami sewaktu masih bekerja makan gaji.

Salam sayang dari saya.

Note: Mode tengah menunggu shawl-shawl saya siap hujung minggu ini. Tak sabarnya!





No comments:

Post a Comment